Social Icons

Pages

Minggu, 22 Desember 2013

SOP JPAM Perlu Tiba Dalam Masa 30 Minit


KUALA LUMPUR – Menyorot tragedi bas di Genting Highlands semalam, setinggi pujian harus diberikan kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjadi antara penyelamat mangsa yang terlibat.

Perwira berbaju biru ini menjadi antara ‘kuasa’ besar penting bagi menjalankan operasi menyelamat daripada segi kemanusiaan dan bantuan kecemasan awal terutama bagi mangsa yang masih berpeluang diselamatkan.

Bagi operasi menyelamat mangsa dan mengeluarkan mayat di lokasi tragedi yang berlaku sekitar 2.20 petang itu, JPAM telah tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit selepas kejadian setelah menerima panggilan dari pusat komunikasinya pada pukul 2.30 petang.

Menurut Ketua Pengarah Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, Mohd Yusoff Samad, pusat JPAM yang paling hampir dengan lokasi bencana ialah Sentul di Jalan Ipoh dan Dang Wangi di Jalan Semarak.

“Pasukan dari dua jabatan ini telah bergerak awal ke tempat kejadian disusuli dengan pasukan dari Ibu Pejabat di Jalan Semarak dan Bentong, Pahang.

“Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan waktu untuk tiba di tempat kejadian yang beradius 10 kilometer dari pusat terdekat ialah setengah jam (30 minit) atau kurang bergantung pada keadaan trafik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata dalam kejadian semalam, seramai 80 anggota JPAM telah terlibat termasuk dari Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) kira-kira 15 orang.

Katanya, kerja-kerja menyelamat turut dibantu kekuatan logistik sebanyak 14 kenderaan termasuk sebuah lori 10 tan, enam buah ambulans dan kenderaan pacuan empat roda milik JPAM.

“Jika mengikut lokasi di tempat kejadian yang membabitkan mangsa yang ramai dan keadaan gaung dalam dan curang, menyelamat mangsa menjadi misi utama tidak kira mereka selamat atau tidak.

“Sebab itulah sebuah kren daripada pengurusan Genting diperlukan untuk membantu anggota turun ke bawah bagi operasi menyelamat,” katanya.

Mohd Yussof berkata selain dari anggota yang mendapat latihan khas dari negara luar seperti Singapura, Thailand dan Jepun dari Paspa, operasi semalam turut dibantu dengan kelengkapan High Angle Rescue seperti ‘basket strecher’.

Turut terlibat ialah ambulans yang dilengkapi peralatan bantuan kecemasan awal seperti beg trauma untuk mangsa dibantu sementara menunggu bantuan hospital.

“Dalam kejadian semalam mangsa pertama dikeluarkan kira-kira sejam selepas kejadian dan mangsa terakhir pada jam 7.30 malam,”

“Dengan bantuan peralatan dan kecekapan anggota tiada sebarang halangan besar dihadap untuk menyelamatkan semua mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling berkata JPAM sememangnya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan semua situasi bencana yang berlaku di negara ini.

Katanya, JPAM setakat ini mempunyai keanggotaan yang mencukupi serta peralatan sesuai termasuk logistik bagi menghadapi situasi kecemasan termasuk memberi sebarang bantuan kemanusiaan melibatkan haiwan bahaya atau sebagainya.

“Setakat ini JPAM mempunyai 557 anggota tetap, 661,000 sukarelawan serta kira-kira 100 anggota Paspa seluruh negara.

“Kita akan sentiasa memastikan kemahiran anggota JPAM dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan latihan-latihan sesuai agar mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi bencana,” katanya.

Semalam, sebuah bas awam yang terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Genting Highlands disifatkan kemalangan paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun.

Kemalangan tersebut menyebabkan 37 maut dan 16 cedera. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar